Sabtu, 17 April 2010

Kini Gigih 'Bermain Golf'

Salam,
Dahulu saya memang aktif berbasikal terutama sekali pada malam hari. Akibat kekangan tugas dan tanggungjawab yang semakin bertambah, waktu malam saya tidak lagi aktif dengan roda dua. Tetapi itu bukannya alasan untuk tidak menjadikan tubuh badan kita sentiasa sihat.
Kini pada hari-hari minggu atau ada kelapangan selepas waktu bekerja di siang hari, saya akan memegang batang golf atau dengan lebih tepat lagi cangkul. Dengan cangkul itu saya berkebun secara kecil-kecilan di halaman rumah dan di satu kawasan tanah terbiar yang berdekatan kawasan perumahan saya.
Rupa-rupanya 'bermain golf' itu membuatkan badan kita lebih cepat berpeluh berbanding dengan berbasikal! Alhamdulillah kini walaupun saya tidak lagi aktif berbasikal tetapi nampaknya hasil dari bermain golf mulai kelihatan. Disamping dapat mengekalkan kesihatan, saya juga memperolehi hasil kebun. Sihat dan jimat, kan untung tu.
Kalau kita nak sihat, sebenarnya bukan sahaja tidak perlu beri alasan tetapi kita perlu cari alternatif lain yang berkesan dan mengikut kesesuaian.
Harap semuanya sihat selalu....
Sekian.

Jumaat, 9 April 2010

AZAM PENULISAN 2010- HAFIZI BOOK PLANNER

Salam buat semua,
Sebagai seorang penulis baru saya melihat Pesta Buku tahunan adalah satu platfom yang sangat baik bagi seorang penulis untuk membuat kajian dan pemerhatian.
Daripada mood pembeli buku dan pembaca buku, daripada jenis buku / genre buku yang dijual dan dipamerkan, ternyata banyak lagi ruang-ruang kosong yang boleh diisi oleh para penulis.
Penulisan buku-buku umum masih boleh diterokai lagi, begitu juga buku-buku motivasi, komedi dan lain-lainnya.
Apabila pulang sahaja daripada PBAKL, saya menyelak semula 'HAFIZI BOOK PLANNER' yang tercatat jenis buku, tarikh buku dicipta, tarikh jangkaan siap.
Tiba-tiba semangat saya menjadi berkobar-kobar untuk meneruskan cita-cita menyiapkan sebuah buku untuk setiap bulan. Berkali-kali saya membaca semula HAFIZI BOOK PLANNER, dan mencabar diri saya sendiri untuk mencapai sasaran sebuah buku sebulan.
Mulai hari itu saya terus berusaha dan terus berusaha.
Saya pun berharap rakan penulis juga begitu.
Seperti kata sifu saya yang pertama, allahyarham Othman Puteh; "Kerja seorang penulis ada tiga. Menulis, menulis, menulis."
Teruskan menulis!
Berjuanglah dengan pena.
MN Hafizi, K.L.
Salam.

Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan di PBAKL 2010

Salam,
Pada 27 hb Mac 2010, sebagai seorang penulis baru saya menghadirkan diri di PBAKL bukan sahaja sebagai seorang pembeli tetapi dipertanggungjawabkan buat pertamakalinya untuk beramah mesra dengan pelanggan yang mengunjungi gerai pameran Sykt KD.
Saya kelompok penulis pertama yang sampai, diikuti penulis terkenal KD saudara MIMIE ALFINIE, sifu AINA EMIR, RESMANSHAH dan HASIF HAMSYARI.
Terlalu gembira kerana dapat berkongsi pengalaman dengan rakan penulis dan yang paling mendebarkan ialah semasa sesi autograf bersama peminat-peminat 'Budak Genius' - alhamdulillah dalam agkan saya pada hari itu jumlah buku yang saya tandatangan adalah sekitar 15 buah.
Saya sebenarnya sempat menjeling kepada dua orang SIFU iaitu saudara AINA EMIR dan MIMIE ALFINIE yang cukup bersahaja dan cukup mesra melayan peminat mereka yang cukup ramai pada hari itu.
Duduk semeja dengan mereka membuatkan saya berasa cukup kerdil.
Bagi Hasif dan Resman, saya turut berbangga kerana pencapaian anda berdua dengan karya-karya bermutu yang telah dihasilkan.
Selepas itu saya melihat kehadiran saudara MERSIK dan bebrapa orang penulis lain. Jadi saya pun mengundurkan diri.
Memang hajat untuk meminta autograf rakan-rakan penulis yang lain tetapi disebabkan rasa kerdil, hajat itu terpendam.
Semoga tiada yang kecil hati kerana saya juga harus memberikan peluang kepada kelompok penulis KD yang lain pula.
Semoga saat-saat manis bersama staf KD dan rakan penulis yang lebih hebat akan terus memotivasikan kami rakan penulis yang masih bertatih ini.
Semoga segala kerja-kerja yang baik itu akan terus berkesinambungan buat kita semua.
TERIMA KASIH KD, RAKAN PENULIS, PARA PEMBELI BUKU 'BUDAK GENIUS' DAN ANDA SEMUA DI LUAR SANA.
** Nantikan kemunculan NOVEL AWAL REMAJA BUDAK GENIUS 2 : Dendam Vs Rendam.
MN Hafizi
Sekian.