Ahad, 15 Ogos 2010

Novel Remaja Terbaru MN Hafizi; BUDAK GENIUS2 : Dendam Vs Rendam

Public Interchange Capsule meluncur laju, membelah urat-urat nadi dan saraf kota metopolitan termaju di Asia ketika ini, Kuala Lumpur.
"Selamat datang, tahniah Romzi Daud atas kemenangan anda di Perang Siber baru-baru ini."
"Tak sangka, selama ini aku banyak kali bagi muka kat Ali tu tapi kau tengoklah sendiri, bukan saja genius R tak diberitahunya aku tapi..aku pula ditkamnya dari belakang! Kau sengaja cari pasal dengan aku Ali."
"Wah, alatan dalam kereta bos ni hebat-hebat betul lah!"
"Lan, kalau nak jadi terbaik, genius, kita kena ada alatan yang canggih-canggih."
"Ali, Romzi..dengar sini, kamu dengan Mamat tu satu bangsa, satu agama pula. Dalam agama, kita semua bersaudara..tak ada dendam berdendam, musuh bermusuh, kamu faham tu?"

Kalau anda mahukan cerita yang lebih sensasi, menarik dan tidak membosankan, dapatkanlah novel remaja  terbaru saya, BUDAK GENIUS2 : Dendam Vs Rendam. Kini di pasaran terbitan KarnaDya Solution RM12.90 sahaja. Dapatkan segera.

Psstt; Menulis memang seronok kerana kita bukan sahaja dapat hiburkan diri sendiri malah orang lain.
        Jom, ramaikan penulis di Malaysia.

MN Hafizi
BTP, Rawang

HARI INI DALAM SEJARAH

Salam,
Tanggal hari ini 5 Ramadhan 1431Hijrah @ 15 Ogos 2010 Masihi tepat jam 11 pagi,
MN Hafizi berhadapan dengan kru pengambaran, set-set, prop dan paling menggetarkan...5second, 4 second, 3second, 2second....action!
Bukannya sebagai seorang pelakon tetapi saya ditemuramah dalam satu program buku@kidson2 di salah sebuah syarikatan penerbitan tv dan iklan di Shah Alam.
Peluang begitu  mungkin sekali dalam seumur hidup, alhamdulillah saya mendapatnya.
Walaupun dalam keadaan mata merah, berair, berdarah dan bengkak, saya gagahi juga menyelesaikan pengambaran yang telah diaturkan oleh Syarikat KD, terima kasih KD.
Walaupun dalam pantang isteri saya sudi menemani, saya amat menghargainya.
Pengalaman manis itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila lantas menerbitkan satu semangat baru untuk terus menulis, menulis dan menulis!
Jangan lupa saksikan wajah budak berkacamata dalam buku@kidson2 di rtm2 sekitar september atau oktober nanti! Tengok jangan tak tengok....

Salam ramadhan buat semua.
MN Hafizi
BTP, Rawang.



Jumaat, 14 Mei 2010

Selamat Pagi Cikgu....

Salam,

Tanggal 16 Mei setiap tahun HARI GURU disambut.
Siapa sebenarnya yang kita panggil guru, cikgu?
Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, ia adalah perkataan yang bersinonim atau mempunyai kaitan dengan pendidik, penceramah, kiai, professor malah ustaz dan ustazah.
Jadi hidup kita dikelilingi mereka yang layak digelar cikgu.
Bermula dengan ibu bapa, saudara, kawan-kawan, di sekolah, universiti, di masjid dan surau malahan di tempat-tempat mewah seperti hotel dan pusat membeli-belah.
Bayangkanlah hidup kita tanpa mereka itu?
Anak yang dibesarkan tanpa ibu bapa, tanpa adik beradik atau mereka yang tidak ke sekolah?
Tanpa ustaz yang mengajar tentang pahala dan dosa, sudah tentu dunia hari ini akan jadi kucar-kacir dan tidak aman tenteram, bukan?
Jadi ingatlah, betapa besarnya pengorbanan seorang guru.
Seperti khutbah jumaat pada hari semalam, mu'azzin berkata; "Tanpa ibu bapa kamu tidak akan lahir ke dunia. Tanpa guru pula, kamu tidak akan mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat..selama-lmanya."
Terima kasih cikgu....
Selamat Hari Guru.
Sekian.

Khamis, 13 Mei 2010

Facebook - Apa Hukumnya?

Salam buat semua,
Beberapa hari lepas saya membaca senaskah akhbar.
Apa yang memeranjatkan tertera - melayari facebook boleh jadi haram?
Saya terus membaca artikel itu dengan penuh hati-hati dari mula sampailah ke noktah.
Barulah saya faham.
Sebenarnya facebook adalah satu ledakan teknologi moden yang tidak pernah difikirkan semenjak wujudnya laman web dan e-mel.
Saya setuju dan berfikiran terbuka mengenai artikel yang disiarkan itu.
Apa perkara sekali pun, sebenarnya dalam Islam diharuskan iaitu maknanya ia dibolehkan.
Tetapi apabila menyentuh mengenai maruah, harga diri, aurat, kepercayaan, akidah ia tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah.
Facebook sebenarnya diharuskan sekiranya ia digunakan dengan betul, dengan niat yang baik.
Tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya kita mendedahkan keburukan diri kita, orang lain atau sesiapa sahaja. Tambahan lagi kita menggunakan platfom facebook untuk maksiat seperti kewujudan Persatuan Gay Malaysia Kebangsaan, mengajak pengguna untuk permaianan yang melalaikan dan sebagainya.
Islam dan teknologi sebenarnya bergerak seiring dan saling menyokong tetapi sebgai pengguna dan sebagai seorang Muslim, kita haruslah berhati-hati.
Akidah, maruah diri dan Islam haruslah dipertahankan dengan sewajarnya.
Sama-samalah kita fikir dan renungkan perkara itu sama-sama.
Sekian.

Jumaat, 7 Mei 2010

Ibu..Ratu Hatiku

Salam buat semua,

Pada tanggal 9 MAY 2010 HARI IBU disambut lagi.
Bagi mereka yang masih mempunyai IBU, sangat bertuahlah dia yang bergelar ANAK.
Bagi mereka yang sudah tiada ibu, bertuahlah ibu mereka di sana berkat doa anak-anak yang soleh dan solehah, amin....
Sepanjang 33 tahun bergelar anak, jasa ibu terlalu besar buat diri ini.
Dulu kami tidak mempunyai rumah sendiri, rumah hanya layak bergelar pondok menunggu durian. Tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air paip.
Hanya lampu minyak tanah, kalbait, air perigi dan air hujan yang ditadah.
Ibu tidak pernah mengeluh membesarkan kami adik beradik.
Sekali pun tidak pernah aku mendengar ibu mengeluh.
Rumah kami jauh dari rumah orang-orang lain, dikelilingi semak samun, belukar dan ditemani ular, kala jengking dan macam-macam lagi.
Sekali pun ibu tidak pernah mengeluh.
Kini anak-anak ibu semuanya sudah besar, sudah mempunyai pekerjaan, sudah ada isteri, sudah ada anak masing-masing. Kini hanya tinggal ibu dan ayah di kampung.
Ibu ditinggalkan lagi, kali ini lebih lama, lebih jauh.
Sekali pun ibu tidak mengeluh.
Mengapa ibu tidak mengeluh?
Kerana biarpun jasad anak-anaknya itu jauh tetapi hati ibu sentiasa dekat padanya.
Kerana kasih sayang seorang ibu sentiasa lekat dalam hatinya buat anak-anaknya.
Begitulah kasihnya seorang ibu.
Jauh atau dekat bukan lagi alasan untuk berbicara barang seketika dengan seorang yang amat menyayangi kita sampai bila-bila.
Suara ibu ibarat doa keramat buat anak-anaknya.
Senyuman seorang ibu ibarat penawar kepada segala racun duka.
Kasih seorang ibu ibarat syurga dunia buat kita semua.
Ucapkanlah SELAMAT HARI IBU biarpun mulut kita bisu seribu bahasa.
Ibu, kaulah ratu hatiku....
Sekian.

Marah oh Marah

Salam buat semua,
Beberapa hari kebelakangan ini, mood saya agak tidak stabil.
Ada satu hari saya boleh bersabar dengan keadaan jalan yang mengalami kesesakan yang teruk tetapi pada hari yang lain saya akan jadi cepat melenting. Dengan perkatan lain, saya menjadi cepat marah. Meskipun untuk perkara-perkara yang remeh-temeh.
Satu hari anak saya yang kecil merengek dan tidak mahu memakai pakaiannya selepas mandi. Dia biasanya pandai memilih baju dan memakainya sendiri. Kebetulan hari itu hari minggu dan kepenatan yang saya alamai kerana pulang lewat pada malam sebelumnya masih ada.
Anak saya terus merengek dan langsung tidak mahu mendengar apa yang saya cakapkan padanya, padahal saya tidak pun menengkingnya.
Kesabaran saya tercabar, tambahan lagi dengan keadaan yang masih awal pagi dan badan seperti memerlukan rehat yang lebih pada hujung minggu.
Beberapa ketika, saya terus meninggikan suara, mendukungnya dan membawa ke tingkat bawah dan akhir sekali membiarkannya di luar rumah lantaran kedegilannya yang tidak mahu memakai pakaian.
Ahli keluarga saya yang lain hanya melihat.
Apabila keadaan sudah kembali seperti sediakala, saya terfikir satu perkara.
Ahh, bodohnya tindakan aku itu. Ahhh, malunya aku kerana terlalu ikutkan sangat perasaan marah.
Moralnya disini, kerana ikutkan sangat marah, sebenarnya kita telah memalukan diri kita sendiri. Kita mendedahkan kelemahan diri kita kepada orang lain dan yang paling penting, kerana kemarahan juga kita hilang pertimbangan diri.
Sekarang saya cuba mengawal kemarahan dengan pelbagai cara antaranya;
1- Jangan tunjuk kemarahan anda kepada orang lain.
2- Selalu muhasabah diri - setiap manusia ada kelemahan, kekurangan, begitu juga diri kita dan orang lain.
3-Sifat mudah memaafkan orang lain adalah sikap yang terpuji.
4-Ingat marah juga adalah makhluk Allah. Sekiranya kita dapat mengawal marah, kita adalah makhluk tuhan yang hebat!
5-Marah mestilah bertempat dan kena caranya.
Marah-marah sayang....
Salam.

4 Perkara Yang Memendekkan Usia Anda!

Salam,
Beberapa hari yang lepas saya ada membaca sebuah artikel dan kebetulan artikel itu dibaca pula oleh salah seorang deejay radio yang agak popular dan disiarkan pula oleh siaran radio popular dan di waktu yang agak bersesuaian.
Dalam salah satu kajian di barat, mereka mendapati daripada beribu-ribu individu yang dikajiselidik, terdapat 4 punca atau sebab yang menyebabkan mereka pendek umur;
1- Menghisap rokok
2- Minum arak
3- Diet yang salah
4- Kurang bersenam
Malahan dalam kajian itu juga ada antara individu yang dikaji meninggal akibat sebab-sebab diatas! Semasa kajian itu dijalankan!
Jadi sebagai satu usaha kecil kita, cubalah ubah cara hidup kita mulai hari ini. Sedikit usaha kita pada hari ini untuk jadi lebih sihat, akan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Jom, jadi lebih sihat untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara!
Sekian.

Selasa, 4 Mei 2010

LUASNYA..NERAKA!!

Salam buat semua,

Semalam saya mendengar lagi Radio IKIM FM. Semenjak akhir-akhir ini, seronok pula mendengar radio itu. Banyak perkara ajaib, hebat dan meninggalkan kesan dalam diri kita diceritakan dalam ruangan yang cukup santai dan banyak info.
Salah seorang Ustaz bercerita, apabila neraka dibuka ia sebenarnya ditarik dengan 70,000 tali oleh para malaikat dan di setiap hujung tali itu pula ditarik oleh 70,000 malaikat yang lain pula. Setiap malaikat yang menarik tali-tali itu mempunyai banyak sayap / kepak dan bayangkan setiap kepak/ sayap malaikat itu pula besarnya adalah melebihi saiz bumi kita ini! Masya-Allah, besarnya, luasnya neraka jahanam itu. Bayangkanlah sekiranya kita dicampakkan ke sana? Nauzubillahhiminzalik....
Jadi pengajarannya janganlah menempah diri kita ke neraka. Bagaimana caranya? Tanyalah kepada mereka yang lebih arif dan sentiasalah muhasabah diri kita setiap masa, insya-Allah.
Wassalam.

Sabtu, 17 April 2010

Kini Gigih 'Bermain Golf'

Salam,
Dahulu saya memang aktif berbasikal terutama sekali pada malam hari. Akibat kekangan tugas dan tanggungjawab yang semakin bertambah, waktu malam saya tidak lagi aktif dengan roda dua. Tetapi itu bukannya alasan untuk tidak menjadikan tubuh badan kita sentiasa sihat.
Kini pada hari-hari minggu atau ada kelapangan selepas waktu bekerja di siang hari, saya akan memegang batang golf atau dengan lebih tepat lagi cangkul. Dengan cangkul itu saya berkebun secara kecil-kecilan di halaman rumah dan di satu kawasan tanah terbiar yang berdekatan kawasan perumahan saya.
Rupa-rupanya 'bermain golf' itu membuatkan badan kita lebih cepat berpeluh berbanding dengan berbasikal! Alhamdulillah kini walaupun saya tidak lagi aktif berbasikal tetapi nampaknya hasil dari bermain golf mulai kelihatan. Disamping dapat mengekalkan kesihatan, saya juga memperolehi hasil kebun. Sihat dan jimat, kan untung tu.
Kalau kita nak sihat, sebenarnya bukan sahaja tidak perlu beri alasan tetapi kita perlu cari alternatif lain yang berkesan dan mengikut kesesuaian.
Harap semuanya sihat selalu....
Sekian.

Jumaat, 9 April 2010

AZAM PENULISAN 2010- HAFIZI BOOK PLANNER

Salam buat semua,
Sebagai seorang penulis baru saya melihat Pesta Buku tahunan adalah satu platfom yang sangat baik bagi seorang penulis untuk membuat kajian dan pemerhatian.
Daripada mood pembeli buku dan pembaca buku, daripada jenis buku / genre buku yang dijual dan dipamerkan, ternyata banyak lagi ruang-ruang kosong yang boleh diisi oleh para penulis.
Penulisan buku-buku umum masih boleh diterokai lagi, begitu juga buku-buku motivasi, komedi dan lain-lainnya.
Apabila pulang sahaja daripada PBAKL, saya menyelak semula 'HAFIZI BOOK PLANNER' yang tercatat jenis buku, tarikh buku dicipta, tarikh jangkaan siap.
Tiba-tiba semangat saya menjadi berkobar-kobar untuk meneruskan cita-cita menyiapkan sebuah buku untuk setiap bulan. Berkali-kali saya membaca semula HAFIZI BOOK PLANNER, dan mencabar diri saya sendiri untuk mencapai sasaran sebuah buku sebulan.
Mulai hari itu saya terus berusaha dan terus berusaha.
Saya pun berharap rakan penulis juga begitu.
Seperti kata sifu saya yang pertama, allahyarham Othman Puteh; "Kerja seorang penulis ada tiga. Menulis, menulis, menulis."
Teruskan menulis!
Berjuanglah dengan pena.
MN Hafizi, K.L.
Salam.

Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan di PBAKL 2010

Salam,
Pada 27 hb Mac 2010, sebagai seorang penulis baru saya menghadirkan diri di PBAKL bukan sahaja sebagai seorang pembeli tetapi dipertanggungjawabkan buat pertamakalinya untuk beramah mesra dengan pelanggan yang mengunjungi gerai pameran Sykt KD.
Saya kelompok penulis pertama yang sampai, diikuti penulis terkenal KD saudara MIMIE ALFINIE, sifu AINA EMIR, RESMANSHAH dan HASIF HAMSYARI.
Terlalu gembira kerana dapat berkongsi pengalaman dengan rakan penulis dan yang paling mendebarkan ialah semasa sesi autograf bersama peminat-peminat 'Budak Genius' - alhamdulillah dalam agkan saya pada hari itu jumlah buku yang saya tandatangan adalah sekitar 15 buah.
Saya sebenarnya sempat menjeling kepada dua orang SIFU iaitu saudara AINA EMIR dan MIMIE ALFINIE yang cukup bersahaja dan cukup mesra melayan peminat mereka yang cukup ramai pada hari itu.
Duduk semeja dengan mereka membuatkan saya berasa cukup kerdil.
Bagi Hasif dan Resman, saya turut berbangga kerana pencapaian anda berdua dengan karya-karya bermutu yang telah dihasilkan.
Selepas itu saya melihat kehadiran saudara MERSIK dan bebrapa orang penulis lain. Jadi saya pun mengundurkan diri.
Memang hajat untuk meminta autograf rakan-rakan penulis yang lain tetapi disebabkan rasa kerdil, hajat itu terpendam.
Semoga tiada yang kecil hati kerana saya juga harus memberikan peluang kepada kelompok penulis KD yang lain pula.
Semoga saat-saat manis bersama staf KD dan rakan penulis yang lebih hebat akan terus memotivasikan kami rakan penulis yang masih bertatih ini.
Semoga segala kerja-kerja yang baik itu akan terus berkesinambungan buat kita semua.
TERIMA KASIH KD, RAKAN PENULIS, PARA PEMBELI BUKU 'BUDAK GENIUS' DAN ANDA SEMUA DI LUAR SANA.
** Nantikan kemunculan NOVEL AWAL REMAJA BUDAK GENIUS 2 : Dendam Vs Rendam.
MN Hafizi
Sekian.