Jumaat, 7 Mei 2010

Ibu..Ratu Hatiku

Salam buat semua,

Pada tanggal 9 MAY 2010 HARI IBU disambut lagi.
Bagi mereka yang masih mempunyai IBU, sangat bertuahlah dia yang bergelar ANAK.
Bagi mereka yang sudah tiada ibu, bertuahlah ibu mereka di sana berkat doa anak-anak yang soleh dan solehah, amin....
Sepanjang 33 tahun bergelar anak, jasa ibu terlalu besar buat diri ini.
Dulu kami tidak mempunyai rumah sendiri, rumah hanya layak bergelar pondok menunggu durian. Tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air paip.
Hanya lampu minyak tanah, kalbait, air perigi dan air hujan yang ditadah.
Ibu tidak pernah mengeluh membesarkan kami adik beradik.
Sekali pun tidak pernah aku mendengar ibu mengeluh.
Rumah kami jauh dari rumah orang-orang lain, dikelilingi semak samun, belukar dan ditemani ular, kala jengking dan macam-macam lagi.
Sekali pun ibu tidak pernah mengeluh.
Kini anak-anak ibu semuanya sudah besar, sudah mempunyai pekerjaan, sudah ada isteri, sudah ada anak masing-masing. Kini hanya tinggal ibu dan ayah di kampung.
Ibu ditinggalkan lagi, kali ini lebih lama, lebih jauh.
Sekali pun ibu tidak mengeluh.
Mengapa ibu tidak mengeluh?
Kerana biarpun jasad anak-anaknya itu jauh tetapi hati ibu sentiasa dekat padanya.
Kerana kasih sayang seorang ibu sentiasa lekat dalam hatinya buat anak-anaknya.
Begitulah kasihnya seorang ibu.
Jauh atau dekat bukan lagi alasan untuk berbicara barang seketika dengan seorang yang amat menyayangi kita sampai bila-bila.
Suara ibu ibarat doa keramat buat anak-anaknya.
Senyuman seorang ibu ibarat penawar kepada segala racun duka.
Kasih seorang ibu ibarat syurga dunia buat kita semua.
Ucapkanlah SELAMAT HARI IBU biarpun mulut kita bisu seribu bahasa.
Ibu, kaulah ratu hatiku....
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan